Hati kecilnya menjerit dan meraung. Kenapa hari ini DIA lambat? Selalu pada tepat 3 petang, DIA akan muncul dari balik pintu dan membawakan sesuatu yang berharga buatnya. Kini sudah pukul 3.15 minit petang dan jam di dinding terus berdetak, masa seperti mengejek raungan batinnya yang meracau. Kenapa DIA lambat? Kenapa?

Pintu kayu dibuka dari arah luar, seorang lelaki masuk sambil membawa dulang yang berisi dengan semangkuk bijirin oat, kekacang dan beberapa potongan buah strawberi yang dicurahkan dengan susu segar. Secawan kopi pekat panas menemani mangkuk di belah kanan. Lelaki itu memberikan senyuman manis.

“Maaf lambat, aku siapkan kerja sekejap. Tak sedar dah masuk pukul 3 lebih ….”

Lelaki itu meletakkan dulang makanan ke atas meja kecil lantas dia mengeluarkan sebentuk kunci. Dia merapati sebuah palang besi bergerigi dan terus membuka mangga yang tergantung di slot penyangkut antara dua palang yang membentuk seperti pagar kecil. Satu ruang sederhana terbuka membuatkan seseorang di dalam palang besi bergerigi melangkah keluar. Dia hanya memakai pakaian tidur yang lusuh.

“Kenapa lambat? Saya risau ….”

“Aku tak apa-apa sayangku Manis. Jom kita makan?”

Manis mengangguk laju. Dia terus ke singki yang terletak berhampiran meja kecil dan membasuh wajahnya beberapa kali. Mulut dikumur laju bagi membuangkan rasa kelat dan payau air liur yang semalaman bergenang dan menari di tunas rasa. Dia hanya memerhatikan tingkah Manis dengan tenang.

“Bos Besar dah suruh aku cepatkan procedure kita ….”

Ketika ini suapan bijirin yang kedua Manis tergantung di udara. Dia terpempan. Sudu itu diletakkan semula ke dalam mangkuk yang hampir bersisa. Dia mencapai cawan kopi yang suam dan menghirup laju. Dia gemuruh, kaget, tetapi dia perlu bertenang. Ketika ini sentuhan lembut daripada tangan kasar DIA menjalar ke segenap tubuhnya. Sentuhan yang menenangkan. Manis memaniskan wajah.

 “It’s gonna be okay, sayangku Manis. Aku dah lengahkan semua. Aku takkan serahkan kau macam tu je tanpa berlawan. Trust me on this, sayangku Manis.”

DIA bingkas bangun. Seperti memahami galau hati Manis ketika ini, DIA terus memeluk tubuh Manis dari belakang. Cumbuan sayang dilekapkan ke batang leher, usapan cinta dilafazkan melalui setiap elusan di rambutnya dan Manis selesa diperlakukan sebegitu.

“Sakit lagi ke?”

Ketika ini tangan kanan DIA mengusap lembut bahagian pinggang kiri Manis. Sebuah jahitan kemas tersedia di situ yang masih bersisa dengan kesan kuning daripada Acriflavine Lotion 0.1%. Manis ingin menjerit, meratap dalam pelukan DIA ketika ini, merayu dan terus merayu supaya kesakitannya di dengari oleh DIA tetapi dia mengerti. Ini bukan salah DIA. Tidak sama sekali. Bukan.

 “Tipulah kalau cakap tak sakit, tapi saya ada awak dengan saya. Itu dah cukup.”

DIA akur, kedua-dua tangannya terikat mati. DIA sendiri tidak pernah menyangka yang bunga-bunga perasaan di antara dirinya dan MANIS berkembang mekar dan merembeskan keharuman sehingga mendatangkan syak wasangka daripada rakan sekerja dan juga Bos Besar. DIA menyeluk poket jean lalu mengeluarkan sesuatu.

“Untuk kau, boleh tambah koleksi dekat rak nanti.”

Manis sedang memegang naskhah Milk and Honey oleh Rupi Kaur. Walaupun selama hayat hidupnya dia amat membenci sebarang jenis puisi, tetapi pemberian daripada DIA kali ini akan disimpan dan ditatang bagai pecahan-pecahan kecil nyawanya.

 “Terima kasih, awak ….”

Ciuman lembut ke ubun-ubun Manis dihadiahkan sebagai tanda perpisahan sementara buat mereka berdua. Manis seperti mengetahui rutin yang perlu dibuat terus melangkah lemah masuk kembali ke dalam kurungan bergerigi. Setelah memastikan kurungan itu dikunci kemas, DIA sempat mengusap pipi kiri Manis dan bermain dengan bibirnya yang mungil melalui usapan ibu jari.

 “Kita jumpa esok, sayangku Manis…”

***

 “Punyalah banyak jenis manusia dalam dunia ni, budak lelaki tu yang kau nak sangat dah kenapa? Aku nak ingatkan kau, Bos Besar dah lama aim perangai kau ni. Jangan sebab budak live stock tu kau nak belot dekat kami semua. Aku dulu yang settle kan kau nanti.”

Bob Shukri tegas dalam memberikan amaran yang tiada langsung lopak kompromi. DIA tersepit di antara rasa sayang dan cinta terhadap Manis dengan permasalahan sendiri. DIA menunduk tidak langsung bertindak. Tidak mahu memanjangkan isu dan tidak mahu mencari masalah untuk ditambah.

“Kau tolong pergi intip ada satu anak Dato’ ni. Portfolio dia aku dah siapkan dalam kereta. Jangan lupa update aku setiap setengah jam. Aku nak hantar laporan dekat Bos Besar. Don’t fuck this shit up, okay? Pergi sekarang.”

DIA sempat mencicip teh halia sebelum laju meninggalkan rumah teres lot tepi itu melalui pintu dapur. Setelah memastikan DIA betul-betul meninggalkan perkarangan rumah, Bob Shukri terus memasuki sebuah pintu kayu berhampiran dapur. Dia kini sedang berdiri memandang Manis di dalam kurungan.

“Cinta hati kau dah blah, sekarang masa untuk aku buat kerja. Kalau melawan, nahas kau aku kerjakan.”

Bob Shukri menghampiri kurungan Manis sambil memegang picagari yang terisi dengan cecair biru yang jernih.

 “Kita ambil belah kanan dulu kali ni…”

***

DIA sedang memandikan MANIS di dalam sebuah bathtub yang bertakung dengan air yang keruh dan berbuih harum. Sesekali span besar di tangan kanan menggosok perlahan belakang tubuh Manis. Manis tidak berkata apa. Hanya menurut, hanya berpaut pada rasa percaya dan sayangnya terhadap DIA. Pili air dibuka dan limpahan sederhana hangat menerpa tubuh Manis. Dia membiarkan kehangatan air tersebut membasuh pergi kedukaan dan kesakitan yang di alami. Dia redha. Beberapa minit berlalu, setelah Manis berasakan dirinya telah bersih dengan sempurna, dia membuat isyarat kepada DIA. Memahami, DIA lantas mendukung tubuh Manis yang sedikit susut dan cengkung lalu meletakkan Manis ke atas kerusi roda.

 “Aku minta maaf, sayangku Manis…”

Sambil mula menangis, DIA mencium lembut lutut kanan Manis di mana ada kesan parut akibat dipotong. Walaupun telah kudung sebelah, tetapi Manis masih mampu untuk tersenyum. Perasaan sayang telah menutupi segala sakit dan seksa. Kaki belah kanan miliknya telah dijual di pasaran gelap dengan harga yang tidak kurang tingginya. Dia mengusap lembut rambut milik DIA yang masih menangis.

 “Aku janji nak selamatkan kau, aku janji aku nak jaga kau, tapi dengan nyawa aku sendiri yang ….”

 “Awak, hei … awak. Tengok saya, please?”

Manis memegang kedua-dua belah pipi DIA sambil memandangnya dengan penuh kasih. Dia cuba untuk tidak menangis, dia cuba untuk kuat. Demi DIA.

 “Saya akan kuat, kalau awak kuat. Okey?”

“Tapi aku tak kuat tengok kau dah cacat. Aku tak kuat tengok kau…”

“Jangan menangis lagi. Saya dah lapar. Kita makan, boleh?”

DIA mencium lembut kesan potongan di kaki kanan Manis sambil berkata dengan linangan air mata yang semakin laju.

 “Aku janji kali ni aku akan selamatkan kau. Kita sama-sama lari, sayangku Manis. Kita akan tinggalkan semua ni…”

***

Muka hadapan akhbar Kosmo terpampang dengan berita kehilangan anak tunggal lelaki kepada seorang usahawan bergelar Dato’ yang masih lagi giat dijalankan walau sudah memasuki bulan ketiga kehilangannya. DIA meletakkan Kosmo ke atas dashboard kereta dan memerhatikan pergerakan seseorang dari dalam Waja yang dimatikan enjin. Seseorang yang bakal menjadi live stock terbaru dagangan perniagaan Bos Besar dan DIA dibayar (juga diugut) dengan sejumlah yang lumayan (juga kematian). Permukaan skrin iPhone 5s-nya berkelip-kelip sambil bergetar laju.

 “Hello?”

 “Bob, kau dah siap kerja? Terus transfer buah pinggang tu sekarang, Kiah Despatch dah tunggu depan pagar.”

 “Errr, Bos Besar salah call phone ke? Aku tengah intip target baru yang Bos Besar suruh hari tu ….”

 Talian dimatikan serta-merta dari pihak belah sana.

 “Sial!”

Enjin Waja kembali dihidupkan sebelum dengan laju melanggar lampu isyarat merah yang berdiri tegak di antara simpang tiga.

***

Pintu dapur terbuka luas, DIA berlari masuk dan terus menuju ke bilik tahanan live stock. Pintu kurungan bergerigi juga terbuka tanpa ada sesiapa di dalam. Jantungnya berdegup kencang, saluran pernafasan terasa sempit. Helaian buku puisi Milk and Honey oleh Rupi Kaur bertaburan di dalam kurungan dan helaian yang sedang dipijak oleh DIA ketika ini merupakan halaman yang mempunyai beberapa titis darah.

we began
with honesty
let us end
in it too
us – rupi kaur

DIA melangkah perlahan sambil memegang helaian muka surat tersebut dan terus memasuki ruang bilik air. Di dalam bathtub yang dipenuhi dengan timbunan ketulan air batu, terbaring kaku tubuh Manis yang sedang tersenyum. Kelopak matanya yang tertutup rapat menyerlahkan ketenangan abadi yang dia cari selama ini. Dunia seperti berhenti berputar, udara membeku oksigen yang dihirup masuk ke dalam rongga pernafasan.

DIA melutut sambil merayu maaf dan menangiskan cinta yang telah pergi. DIA terlambat. DIA telah memungkiri janji yang dipasakkan di dalam hubungan perasaan di antara mereka berdua. Ruang bilik air yang dingin dan lembab itu menjadi saksi kepada permulaan dan simpulan janji yang tidak ditepati.

DIA bingkas bangun, mengorek keluar timbunan ketulan air batu dan terus mendukung jasad bogel Manis yang tidak sempurna. Kesan belahan di pinggang kanan Manis masih terbuka dengan darah yang masih meleleh keluar. DIA sudah tidak peduli akan semua itu. DIA merangkul erat tubuh Manis, mencium segenap wajahnya, membisikkan kata-kata cinta dan rayuan dengan harapan magis akan berlaku. Dengan harapan Tuhan segala agama yang memerintah bumi fana ini mendengar galau hatinya, memahami perit rasanya, memakbulkan satu permintaannya. Buat pertama kali di dalam hidup yang penuh dengan ego dan segala macam kejahatan, DIA berdoa.

 “Tuhan, aku merayu…”

“And in the morning when I kiss his eyes, he takes me down and rocks me slow, and in the evening when the moon is high, he holds me close and won’t let go…”

*All The Man That I Need – Whitney Houston*

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini