Sepertinya dia, Jimi Jamadi, menyembunyikan sesuatu. Lelaki itu bagai memiliki sebuah rahsia besar gelap, yang mereka fikir, elok dibongkarkan.

      Semuanya bermula apabila mereka terdengar perbualan Jimi Jamadi dengan Timi Samsudin. Jimi Jamadi sedang mengusahakan terjemahan karangan-karangan Ali Shariati untuk sebuah Badan Bukan Kerajaan.

      Jimi Jamadi, lelaki kulit sawo matang berbadan tegap juga rambut lebat panjang paras leher dan selalu dilihat setia dengan Timi Samsudin itu, sedang leka membaca buku Ali Shariati dalam dewan kuliah sewaktu Rabu siang yang panasnya berbahang dan awannya kurang bergumpalan di langit kebiru-biruan.

      Pernah mereka menyoalnya tentang Ali Shariati dan dia menjawabnya dengan mata bersinar dan kesungguhan. Dia maklumkan juga, tokoh dari Iran, beraliran Islam Syiah yang mendukung Islam sebagai ideologi yang revolusioner dan mengurai kongkongan ajaran dogmatik jumud itu amat dikaguminya.

      Mereka, yang tidak banyak kerja itu kerap juga meneliti dan mereka dapati Jimi Jamadi juga gemar menggelumanggi Muthadara Muthadari, Ashgar Ali dan kongsi kata-kata Imam Ali lewat Instagramnya seminggu beberapa kali. Oh, hampir terlupa untuk bicarakan juga bahawa dia ada menyimpan Nahjul Balagha dan ianya bukan untuk kegunaan belajar bidang pengurusan dan ekonomi!

      Pada satu malam yang agak berbahang, mereka yang tiada kerja lain yang hendak dibuat itu bercakap-cakap tentang Jimi Jamadi. Curiga telah menyeluruhi mereka di ruang studi dalam fakulti.

      “Jimi Jamadi Syiah!”

      “Mampus! Aku rasa tak selamat!”

      “Aku pun! Aku tak nak jadi sesat… Patutlah selama ni dia selalu baca buku-buku orang Syiah. Ali Shariati, Muthadara Muthadari, Seyyed Hossein Nasr ….”

      “Jap … Seyyed Hossein Nasr tu Syiah? Mampus! Aku ada terbeli buku dia. Nasib baiklah aku tak baca lagi!”

      Dalam kekacauan itu, mereka tertangkap bayang Timi Samsudin yang jauh beberapa meter dari mereka. Dipanggilnya Timi Samsudin, sedikit lembab tangannya, yang sedang berjalan dari tandas hendak menuju ke luar fakulti.

      Timi Samsudin berdiri dengan bercekak pinggang menatap kedua mereka yang setia duduk di meja studi yang ada dua buku dan dua komputer riba.

      “Ada apa?” Soal Timi Samsudin, statik nadanya. Kedua-dua orang di hadapannya tersengih-sengih kerana pada mulanya serba salah hendak bertanya.

      “Kau rapat dengan Jimi Jamadi. Kau pernah nampak dia solat?”

      “Pernah je.”

      “Dia solat macam mana?”

      “Solat macam biasalah. Nak solat macam mana lagi?”

      “Manalah tahu kan, cara solat dia lain.”

      “Lain macam mana pula? Biasa je aku tengok.”

      “Oh … manalah tahu kan dia solat ada pakai batu ke.”

      “Huh? Batu? Jap … apa benda korang cakapkan ni?”

      “Kami cuma suspicious. Dia suka baca Ali Shariati dan dekat IG pun dia suka kongsi quote Saidina Ali.”

      “Apa yang korang suspicious-kan? Korang ingat dia penganut Islam Syiah?”

      “Kau tak rasa dia orang Syiah ke? Mungkin selama ni dia pura-pura solat depan kau. Dulu ustaz aku pernah cerita yang orang Syiah ni sanggup dan rasa wajib menipu untuk elak maslahat. Kau tak takut ke selalu dekat-dekat dengan Jimi Jamadi tu?”

      “Aduhai! Kalau Jimi Jamadi tu gigolo sekalipun, apa masalahnya dengan aku dan korang?”

      Timi Samsudin sambung lagi, “Dah dua tahun kot kita berkenalan dengan dia, belajar sekuliah dengan dia. Elok je, kan? Kita masih hidup dan masih tak ‘sesat’, kan?”

      Senyap hidup subur dan menguasai. Timi Samsudin pula berlalu pergi meninggalkan mereka untuk berfikir sejenak.

      Hari demi hari pun berlalu. Bulan puasa yang dinanti-nantikan seluruh umat Islam mula jadi baik untuk mengumpul banyak pahala telah tiba.

      Dalam bilik kecil disewa Jimi Jamadi terletak di kolej kediaman, ketawanya pecah dek Timi Samsudin yang membuka kisah kecurigaan teman-teman mereka.

      “Aku harap kau tak bermusuh dengan diorang. Tapi kalau ya pun, aku faham. Aku pun tak suka kalau orang mengata buruk belakang aku.” Beritahu Timi Samsudin. Ketawa sahabatnya sudah lerai sedikit. Jimi Jamadi membuat isyarat tangan, memaklumkan bahawa dia menolak untuk bermusuh.

      “Tak apalah, aku faham. Cuma agak kecewalah bila perangai macam ni ada. Baca buku-buku dari orang Syiah tak semestinya jadikan kita Syiah. Baca buku Karl Marx pun tak semestinya jadikan kita komunis. Kita nak tambah ilmu saja.” Balas Jimi Jamadi sungguh-sungguh. Timi Samsudin mengangguk setuju.

      Langit semakin biru menggelap. Beberapa minit cuma untuk berbuka puasa.

      “Berapa persen lagi progress terjemahan tulisan-tulisan Ali Shariati tu, Jimi?”

      “Lagi 20%.”

      “Fuyo! Sikit lagi. Famous-lah kawan aku nanti. Bukan ramai orang berpeluang buat kerja ni. Tapi aku takut nanti kau akan terkenal bukan sebab kau rajin buat terjemahan tapi sebab kau terjemah buku tulisan orang Syiah. Takut orang cop kau Syiah! Macam budak kolej sebelah yang orang tengah cop dia komunis bertubi-tubi. Dia cuma jual buku Karl Marx je.”

      “Ah, orang kita ni kadang sensitif sangat. Macam aku katalah, Timi. Tak semestinya kita jadi Syiah atau komunis atau muktazilah bila baca buku-buku orang komunis atau syiah atau muktazilah. Orang kita ni takut sebab tak tahu. Dan diorang selesa untuk terus tak tahu. Malas aku nak layan karenah diorang.”

      Azan maghrib sayup-sayup masuk ke telinga Timi Samsudin dan Jimi Jamadi yang sama-sama duduk atas lantai bertentangan berjarakkan hidangan berbuka puasa atas dua helai surat khabar terbentang.

      Mendengar kalimah-kalimah Arab itu, Jimi Jamadi automatik meneguk nikmat separuh gelas air kosong, beberapa teguk air susu matcha ais dan sepotong roti john. Timi Samsudin di sisi lain hanya melemparkan pandangannya di luar tingkap bilik Jimi Jamadi yang mengerti.

      Matahari tenggelam dan langit gelap.  Jimi Jamadi sudah hampir kekenyangan manakala Timi Samsudin baru hendak mulai meneguk nikmat air kosong, beberapa teguk air mangga dan sepotong roti john.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini