Hari ke-6 aku lari daripada polis

Langit sangat cerah hari ini. Tiada satu pun awan yang mencemari langit biru, lalu membenarkan matahari membiaskan cahayanya dengan gah. Tiada satu pun lidah haba yang menjilat, membakar kulitku, memandangkan hampir keseluruhan badanku terlapik dengan sesuatu. Baju yang kupakai, berlengan panjang. Seluar juga sama. Kasut yang kupakai tertutup, dengan stoking yang panjang hingga ke betis. Kepalaku pula ditutup dengan topi. Wajahku memang tertutup sepenuhnya dengan topeng muka dan kaca mata hitam. Betul, kulitku tidak terbakar, tetapi bahang yang kurasai sekarang umpama aku seperti berada di dalam sauna – walaupun aku tidak pernah masuk ke dalamnya.

Aku kini berada di tebing tingkat tertinggi sebuah kondo. Tidak, aku bukannya mahu terjun dari atas ini — walaupun sebenarnya jauh di sudut hati, ada suara berbisik yang menyuruh aku untuk menggelincirkan kakiku supaya aku jatuh laju daripada tingkat atas ini lalu bersepai menghempas lantai agar aku dapat berjumpa dengan Mak.

Dari atas bangunan tinggi ini, orang di bawah nampak seperti semut sahaja. Titik-titik hitam yang bergerak entah-ke-mana. Sesekali bunyi siren polis yang kedengaran dari kejauhan membuatkan bulu romaku meremang. Tetapi aku tahu aku selamat di sini. Polis tidak akan tahuaku ada di sini.

Kondo ini mempunyai sistem keselamatan yang agak ketat. Ada pondok dengan seorang pengawal keselamatan berwarganegara asing, kemudian di lobi pula ada pintu kaca yang hanya boleh dimasuki dengan kad akses sahaja, dan kad akses yang sama juga perlu digunakan untuk naik ke tingkat paling atas ini.

Macam mana aku boleh naik sampai ke atas ini?

Pertama, pengawal keselamatan di pondok tidak memeriksa mereka yang masuk ke dalam kawasan kondo jika orang itu berjalan kaki. Kedua, aku menunggu orang menyentuh kadakses mereka sebelum aku turut menyelit masuk ke dalam lobi. Dan ketiga, ini mungkin nasib aku sahaja kerana kebetulan, orang sama yang (tanpa sengaja) memberi aku masuk ke bahagian dalam lobi ini, turut mahu ke tingkat paling atas juga, untuk ke kolam renang yang memang terbina di situ.

Bolehlah aku menyorok di tingkat atas ini untuk beberapa hari.

Hari ke-11 aku lari daripada polis

Tidak, aku sudah tidak berada di tingkat paling atas kondo itu kerana sudah dihalau oleh pengawal keselamatan yang meronda. Sekarang aku di dalam KK Mart. Di hadapan aku, terletaknya berbelas-belas jenis mi segera pelbagai perisa. Jadi rambang mata pula aku.

Mak selalu memasakkan aku mi segera apabila aku mengadu lapar pada malam hari (walaupun aku sudah memakan masakan yang dimasak Mak untuk makan malam). Mi segera yang dimasak Mak, sumpah sedap! Tetapi semua masakan yang Mak masak memang sedap belaka. Cumanya, entah kenapa, setiap kali Mak masak mi segera, seleraku meningkat sekali ganda. Mak perlu memasak dua paket hanya untuk aku seorang! Mi segera Mak bukan hanya ada mi dan kuah berperencah saja, Mak mesti akan tambah telur, sayur sawi, bebola ikan, dan kalau ada rezeki lebih, Mak akan memasukkan beberapa ketul udang. Usai masak, kami berdua akan makan senyap-senyap di dapur sambil berbisik-bisik, berkongsi cerita mengenai hari kami. Kadang-kadang, aku terpaksa menekup mulut, kuat, demi untuk menahan tawa yang hampir terhambur keluar. Kami tidak boleh membuat sebarang bunyi yang kuat. Jika tidur Abah terganggu, Abah akan—

Perutku berbunyi. Cepat-cepat aku mengambil sebungkus roti, meninggalkan pek-pek mi segera tadi, dan bergerak ke kaunter. Duit kertas lima ringgit dihulurkan dan semasa aku sedang menunggu baki, radio yang terpasang kuat di sebelah mesin wang membuatkan juruwang menghentikan kiraan baki wang aku.

“Polis sedang mencari suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan mangsa yang bernama Harun bin Mustafa—”

“Bahaya betul sekarang ni. Nyawa orang dah macam tak ada harga. Orang sesuka hati membunuh macam tu je,” sempat juruwang itu memberikan komen sambil dia menghulurkan baki wang aku. Aku cepat-cepat mengambilnya dan keluar daripada kedai itu. Topeng muka aku pastikan terletak elok menutupi wajah.

Perut yang lapar, perlu cepat-cepat diisi.

Hari ke-24 aku lari daripada polis

Daniel bin Harun. Tiga perkataan itulah yang akan ditulis Mak pada setiap buku latihan aku. Ya, walaupun aku dah berada di sekolah menengah, Mak masih berdegil mahu teruskan tradisi itu. Kata Mak, sambil dia menulis namaku berkali-kali di atas buku latihan yang akan aku gunakan untuk belajar, Mak akan turut berdoa agar aku menjadi anak yang bijak, tidak tinggal solat, rajin dan sentiasa berbuat baik kepada Mak dan Abah.

Nampaknya salah satu doa Mak tak termakbul.

Satu lagi tradisi yang aku akan lakukan bersama-sama dengan Mak setiap kali sesi persekolahan baru akan bermula, kami akan membaca buku komsas bersama-sama. Mak sangat suka membaca. Bilik Mak ada satu almari yang penuh dengan novel yang kertasnya sudah menguning. Adakah minat seorang ibu boleh diwarisi anaknya? Sebab aku pun suka membaca.

Setakat ini, aku rasa sudah hampir separuh daripada novel-novel Mak di almari itu sudah kuteliti isinya.

Berbalik kepada buku KOMSAS, pada malam hari aku mengambil buku teks daripada Bilik SPBT, Mak akan cepat-cepat meminjam buku teks sastera aku itu. Dan pada malam itu juga aku akan menemaninya membaca sehingga larut malam (walaupun esok harinya aku akan bersekolah). Mak akan sentiasa membaca di dalam bilik aku, kerana dia perlukan lampu untuk membaca. Abah tidak boleh tidur dengan lampu yang terpasang, tetapi aku boleh. Aku akan baring di sebelah Mak. Sambil matanya tertumpu pada muka surat yang penuh dengan kata-kata imaginasi, tangan kanan Mak akan mengelus rambutku sampai tertidur. Setiap kali aku baring di sebelah Mak, aku akan senang tertidur. Bau Mak buat aku jadi tenang.

Kalau minat membaca itu aku warisi daripada Mak, apa pula aku warisi daripada Abah?

Hari ke-31 aku lari daripada polis

Aku sering menganggap Mak sebagai sebatang sungai. Ia sentiasa mendinginkan, menyamankan sesiapa yang berada dekat dengannya. Seperti sungai yang mengalir mengikut lekuk tanah yang membenteng, tingkah Mak akan mengalir mengikut keluk emosi orang di sekelilingnya — terutamanya Abah. Mak akan sering berhati-hati melakukan apa-apa hal yang disuruh Abah. Semua benda perlu sempurna di mata Abah, dan Mak sudah berjaya memahiri seni mengambil hati Abah.

Kalau Mak air, Abah adalah api. Ia sentiasa membakar dan merosakkan sesiapa yang ada di hadapannya. Apa yang menghalangnya, Abah akan langgar. Seperti api yang akan terus membakar sehingga ia padam sendiri atau ada yang memadamkannya, amarah Abah akan sentiasa membuak-buak — selalunya ia akan terlampias kepada Mak.

Tapi bila difikirkan semula, aku rasa perumpamaan itu salah. Mak bukan air yang mampu memadamkan mara api Abah tetapi Mak adalah gasolinnya, kerana entah atas sebab apa yang aku tak ketahui, setiap kali nampak wajah Mak, Abah akan berang. Amarahnya berapi-api, pukulannya kepada Mak bertubi-tubi.

Aku rasa aku tahu apa yang aku warisi daripada Abah. Melihatkan cara Abah melayan Mak, perlahan-lahan, ada bara yang menyala di dalam aku.

Hari ke-37 aku lari daripada polis

Pertama kali aku perasan bara dalam diri aku sudah menjadi api yang marak adalah seminggu sebelum aku menjadi buruan polis.

Hari itu, aku rasa sangat tertekan. Kerja rumah aku bertimbun-timbun. Seorang demi seorang cikgu memberikan begitu banyak kerja rumah. Aku sendiri tak dapat menumpukan sepenuh perhatianku di dalam kelas. Tangisan Mak yang tertahan-tahan sewaktu dia membaca di dalam bilik aku pada malam sebelumnya (mataku terpejam, tetapi lena masih belum tiba, jadi Mak mungkin ingat aku sudah tertidur) menghantui hari aku. Aku tahu dia sedih dengan Abah, dengan aku, dengan segalanya. Aku juga tahu dia sakit pada badan yang dilibas tali pinggang, pada lengan yang dicucuh puntung rokok, pada hati yang berbelah bagi antara melaporkan setiap yang dilakukan Abah kepada polis lalu menghancurkan emosi aku atau terus bertahan dengan setiap sepak terajang Abah.

Tekanan yang dirasai aku semakin bertambah apabila sewaktu aku melalui sebatang lorong sunyi, ada tiga orang senior sekolah, menghalang jalan pulangku.

“Kau anak kaki judi kan?”

“Kau tahu tak bapak kau langgan pelacur?”

“Aku nampak bapak kau togok berbotol-botol arak dekat kedai Cina sana.”

Dan bermacam-macam ejekan lagi menghentam-hentam telingaku. Badanku ditumbuk-tumbuk seperti karung tinju.

Lalu api di dalam aku, aku hamburkan pada mereka. Sejalur air jernih yang menggaris pipiku tidak mampu memadamkan marak itu.

Hari ke-40 aku lari daripada polis

Aku rindu Mak. Aku rindu Mak sangat-sangat.

Hari pertama aku berada dalam tahanan polis

Bukan, aku bukan ditangkap polis. Aku sendiri yang datang ke mari untuk menyerah diri.

Aku sudah penat lari. Biarlah aku sendiri menanggung apa yang telah aku lakukan — sesuatu yang aku takkan pernah sesal melakukannya.

Bilik siasatan itu sejuk. Dua orang pegawai polis di hadapanku berwajah garang tetapi setelah Abah, tiada apa-apa yang mampu menakutkan aku.

Tanpa disuruh, aku mengaku bersalah.

Ya, aku telah membunuh Harun bin Mustafa, iaitu bapa aku.

Sepulangnya aku selepas membelasah ketiga-tiga seniorku sehingga lunyai, tengkingan Abah menjemput aku di muka pintu. Belum sempat aku memecat kasut, aku nampak Abah sedang menyepak-nyepak Mak. Kakinya berkali-kali hinggap pada badan Mak, kepala Mak, kaki Mak, kepala Mak, kepala Mak, kepala Mak dipijak berkali-kali. Duk! Duk! Duk! Darah membuak-buak keluar daripada kepala Mak. Pujuk rayu Mak hilang, senyap. Mak terlalu senyap.

Badan Mak tak bergerak.

Mak?

Dan aku membiarkan amarah membakar aku serentung-rentungnya.

Aku menolak Abah sekuat hati. Dia tersungkur, kepalanya terhantuk pada dinding. Tiada lagi tengkingan yang terluah daripada mulutnya. Yang kedengaran hanyalah erangan dan desahan. Aku tahu penumbuk aku tidak akan mampu menyakitkan badannya yang pejal dan gempal, jadi aku terus berlari ke dapur. Lauk tengah hari yang masih berasap tipis, sedia terhidang di atas meja makan, merenggut hati aku. Laci dibuka, pisau dicapai. Pisau sama yang digunakan Mak untuk memotong sawi untuk dimasukkan ke dalam mi segera yang dimasak Mak pada malam sebelumnya, aku gunakan untuk menikam Abah — berkali-kali.

Pada dada.

Pada perut.

Pada muka.

Sekujur tubuh Mak yang tidak berkutik mengundang kembali amarah aku.

Cak — aku sudah tidak dapat makan mi segera yang dimasak Mak — cak — tiada lagi elusan pada rambutku ketika Mak khusyuk membaca buku komsasku — cak — tiada lagi bau Mak yang menenangkan — cakcakcakcakcakcak

Darah memercik merata-rata, membasahi baju aku, muka aku, segala aku. Abah sudamenjadi daging yang tidak bernyawa di hadapan aku.

Barulah aku tahu, apa yang boleh memadam api di dalam aku.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini