KITA boleh membaca ketidakbahagiaan rumah tangga seseorang hanya melalui hantaran-hantaran di medsos orang itu? Benak awak sarat kegalauan bersilih dengan rasa defensif. Awak tidak pernah merasakan sesakit ini atas tikaman kata-kata setajam itu. Puas awak pujuk diri tapi hakikatnya awak benar-benar terganggu. Awak geleng laju-laju cuba membuang jauh fikir-fikir negatif yang bergelayaran dalam kepala.

“Mama, ayah cakap dia tak ada duit untuk yuran tu. Mama bagi eh, esok?”

Chad yang muncul bertanya tiba-tiba menggamit rasa amarah tapi awak cepat-cepat mengawalnya. Ya, sejak akhir-akhir ini awak cuba sedayanya untuk kawal amarah lebih-lebih lagi bila berdepan anak-anak. Aduhai, payah juga, tapi setiap nasihat dan tip-tip yang awak baca dari google dan pakar-pakar tak bertauliah di TikTok, awak cuba praktikkan sebaik mungkin.

“Berapa?!”

“RM160.”

Awak diam tidak beri apa-apa respons lagi setelah Chad menjawab. Tidak menunggu lama, anak sulung itu berlalu pergi meninggalkan awak di bilik bacaan. Chad tahu, tidak akan ada perbualan lanjutan antara awak dengan dia tika mana awak menghadap komputer riba. Padahal Chad tidak tahu sebenarnya awak bukanlah sepenuhnya fokus pada medsos yang terpapar di skrin kerana fikiran awak sedang terganggu dek kata-kata Afiya semalam.

Taip: Adilkah kita judge life orang hanya melalui posting-posting dia di medsos?!!

Awak taip, tapi awak teragak-agak pula hendak klik butang ‘kongsi’. Kesudahannya awak padam semula dan tidak jadi buat hantaran. Nampaknya malam ini awak agak berkira-kira untuk buat hantaran waima satu pun. Padahal kebiasaannya, dalam sehari paling-paling kurang pun awak buat lima hantaran. Awak rajin mengarang tulisan yang menarik warga medsos untuk memberi tanda suka, komen dan kongsi. Bukan awak tidak sedar, kadang-kadang kandungan hantaran awak membuat orang lain terganggu, terasa hati dan adakalanya mencetuskan rasa marah. Lantaklah, fikir awak. Kerana atas kemahiran menulis begitulah orang suka baca dan ikuti.

Awak selalu tulis fasal apa? Oh ya, awak bukan calang-calang orang sebenarnya. Bahkan awak sendiri selalu sebut dalam hantaran-hantaran bahawa awak wanita berkerjaya, profesional dan selalu ‘dikacau’. Ya, hantaran awak kebanyakannya menceritakan bagaimana lelaki dari kalangan muda bujang hinggalah yang berstatus suami orang cuba mengurat awak. Padahal awak sudah berkeluarga dan punya empat orang anak yang selalu juga awak jadikan content. Lebih kurang begitulah isi hantaran-hantaran awak selalunya.

Oh, sebenarnya mujur ada medsos yang menjadi tempat awak melepaskan hiburan. Entah sejak bila dan bagaimana, hubungan awak dan suami bagaikan ada tembok pemisah. Ada saja hal menjengkelkan pada suami awak. Dulu-dulu sewaktu Chad dan Nhad masih kecil, awak pernah jumpa ustaz untuk memeriksa kalau-kalau awak dan suami terkena sihir pemisah. Tapi jawapan dari ustaz lebih mengecewakan. Tiada langsung unsur-unsur sihir ke atas awak dan suami, sebaliknya semua berlaku disebabkan sikap masing-masing. Setelah berbulan-bulan awak tangisi keadaan itu, awak dah semacam mati perasaan. Awak malas lagi ambil pusing. Prioriti awak sejak itu hanya anak-anak dan diri sendiri.

Sekarang awak lebih bahagia hidup dengan cara sendiri. Fokus pada hal-hal menghiburkan hati. Awak suka betul bila setiap hantaran awak dapat sambutan. Awak tahu, ramai lelaki terutama suami orang yang seronok melayan hantaran awak. Kongsilah cerita apa pun, pasti ramai yang respons. Adakalanya awak kongsi aktiviti memasak, buku yang awak baca, drama yang awak tonton, muzik yang awak suka, telatah anak-anak yang lucu dan kerimasan awak yang selalu diganggu—maklumlah, ramai yang mengurat.

Lelaki yang selalu ‘tanam tebu di tepi bibir’ dengan I ni agaknya dia layan isteri dia pun sama ke tak, ya?

Seumpama inilah hantaran-hantaran yang awak naikkan bersama emoticon sedang berfikir. Ada salah seorang tinggalkan komen, orang cun macam awak saja layak terima kata-kata manis. Menerima komen sebegitu buat awak makin galak. Awak suka perhatian begitu. Lama-kelamaan hantaran awak kerap berkisar suami orang yang tidak habis-habis mengurat awak. Kadang cerita awak panjang, kadang ringkas dan padat bersama emoticon jengkel memaksudkan awak sudah penat dan rimas. Adakalanya awak turut zahirkan rasa simpati dan kasihan terhadap isteri-isteri mereka yang malang, apabila suami mereka asyik tergoda dengan awak saja.

Selain bermedsos, awak punyai beberapa kawan gosip (mungkin) sekepala yang bila-bila kelapangan, akan meluangkan waktu mengopi bersama sambil melabun-labun. Lantaran itulah berlakunya peristiwa yang membawa awak pada kekusutan malam ini. Petang tadi, awak dan kawan-kawan bertemu macam selalu di suatu kafe yang baru dibuka. Anak-anak, awak hantar di rumah nenek mereka sekejap kerana suami awak memang memancing dengan kawan-kawan setiap hujung minggu.

Kawan awak lima orang semuanya. Mereka umur sebaya awak, 40-an. Masih muda, ya! Umur cumalah angka, itulah yang awak selalu pegang. Seperti biasa, banyak hal-hal yang awak dan kawan-kawan kongsikan. Masing-masing sama naik. Adakalanya awak sekumpulan tergelak ketawa tapi etika di kafe yang seharusnya senyap dan harmoni perlu dihormati. Perbualan awak dan kawan-kawan rancak dan lancar saja sampailah salah seorang kawan awak menimbulkan cerita tentang hantaran awak baru-baru ini.

“Eh, siapa suami orang selalu kacau you tu?”

“Ha’ah, kerap pula nampak status you kena kacau dengan suami orang. Kasihan bini dia,” sampuk seorang lagi kawan awak sebelum tergelak lagi.

Awak hanya tersenyum meleret menanti soalan bertalu-talu.

“Eh, jangan layanlah. Suami orang ni selalunya hidung belang, tahu! Ke you layan?” tanya pula seorang lagi.

“Hmm… betullah laki orang. Awalnya memang I layankan je mesej-mesej dia kat Facebook. I nak tengok, sejauh mana dia menggatal. Rupanya tak boleh bagi muka langsung, terus ajak dating. Hampeh!” jawab awak dengan hidung kembang kuncup.

Awak tak sempat menyembunyikan rasa bangga didorong rasa teruja. Kawan-kawan awak sambung tergelak.

“Tapi kan, bila baca status orang yang selalu cerita fasal suami orang ngurat dia, lepas tu panjang pula kronologi kena tackle tu, siap sindir-sindir isteri si fulan tu suruh jaga laki dia, satu benda je I fikir…” Tiba-tiba salah seorang kawan awak bernama Afiya yang banyak diam sejak tadi, mencelah.

Mungkin sebab dia jenis tak banyak cakap, maka kata-katanya dianggap penting bagi awak berlima di situ. Mendengar nada suaranya yang sedikit serius, awak tidak sedap hati tapi awak tetap tidak sabar menanti.

I dapat baca yang sebenarnya… dia sendiri tak bahagia dalam rumah tangga dia,” sambung Afiya sambil memandang tepat ke dalam mata awak.

Senyum di bibir awak kendur, wajah awak terasa berbahang dan serentak itu dada awak seakan ditumbuk-tumbuk. Suasana meja awak berlima jadi sepi, tiada lagi gelak tawa.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini