Mungkin Nobita akan lebih bahagia jika dia terus dirundung pilu.

— Muhammad Nor Iman ismail

I

KALAU hajat awak mahu bertandang ke sini untuk menambat kembali hati saya, usahlah. Sudah penat saya menjadi seorang perempuan yang seolah-olah berjalan antara dua asap hitam nan melemaskan. Saya lebih rela menjadi perempuan sepi dalam puisi T. Alias Taib. Paling kurang, saya masih dibacakan oleh orang ramai (terutama ketika mereka membayangkan hati mereka adalah secawan kopi).

“K, saya mahu berjumpa dengan awak bukan sebab cinta. Tetapi atas dasar persahabatan kita. Setiap kali mata saya hampir terpejam, kesalahan saya seolah-olah menjadi obor-obor yang terapung-apung di siling kamar – lalu masa lalu kita berlalu seperti filem dua tahun lalu. Jadi saya mahu mencari ketenangan. Saya minta maaf.”

Maaf awak, saya telah menampar awak dengan teknik martial arts yang telah saya pelajari semasa saya tidak lagi percaya kepada mana-mana lelaki dalam dunia ini (sekarang juga begitu). Saya ujarkan begini, selepas apa yang awak buat, saban hari saya sakit. Saban hari saya depresi, awak datang kembali, semata-mata dengan maaf? SAMPAH! Saya nak sakit saya awak rasa!

Muka awak berubah daripada seorang lelaki yang ala berani kepada muka ikan koi yang dijual berhampiran dengan taman perumahan saya. Awak kesakitan lalu mengusap pipi. Kemudian, setelah kesakitan, muka awak berubah menjadi seperti seekor jerung Greenland seakan-akan mahu membunuh saya.

“Ya, awak jangan ingat awak seorang sahaja merasai kesakitan. Kesakitan juga telah menyiat-nyiat tubuh saya hidup-hidup dengan gigi taringnya dan hampir melumatkan saya dengan gigi gerahamnya!”

Saya terkejut kerana awak sudah mulai meninggikan suara dan ketika ini semua mata di kafe tertumpu ke arah kita. Saya perasan akan hal ini dan cepat-cepat meminta maaf supaya kisah kita tidak dijaja ke seluruh warga Internet (barangkali sudah terjaja pun kerana saya menampar awak tadi) saya tidak perasan akan hal-hal tidak menguntungkan seperti itu.

II

“Jadi, awak juga berkongsi pilu seperti saya?”

Saya bertanya kerana mahu menghapuskan tembok agam lutsinar yang memisahkan persahabatan kita semasa di sekolah menengah dahulu. Ketika itu saya pernah menyebut awak menjijikkan di hadapan semua manusia. Dan, awak pernah menjerit kuat ketika tidak tahan dengan tohmahan dan kritikan. Ah, lupakan kisah itu. Kita ke kisah kedua. Saya pernah menolak tawaran hadiah yang pernah awak beri ketika majlis perpisahan kelas (dan ini tentu menjadikan awak nestapa). Cerita lama yang tidak saya sedar kewujudannya ini berputar dan berlegar-legar melengkapkan skripnya (juga boleh dianalogikan seperti sebuah filem).

“Saya juga pada awalnya tidak memaafkan awak. Tetapi saya fikir, lebih elok jika dendam kesumat ini dilumat dalam lesung batu niregoistik kita.”

[setelah berfikir sejenak apa yang perlu dikatakan, akhirnya saya meluncurkan kata-kata]

“Saya juga rasa itu yang terbaik, bukankah begitu, sahabat? Kita pernah berjaya dalam percintaan. Kita juga pernah gagal tetapi akan saya pastikan kegagalan menjadi tangga-tangga untuk dihenyak-pijak-panjat saya sehingga ke kejayaan. Cinta kita, awak! Sebenarnya saya ada konflik dengan hati di mana saya adalah orang yang berjalan membelakangi kenyataan.”

III

Muka ikan koi awak kembali menjadi muka Kim Seon Ho. Awak membuat kerja gila di kafe ini. Buat pertama kalinya saya dapat memaafkan orang gila (lebih teruk lagi mencintai orang gila semula).

Hoi / hoi / hoi / warga kafe yang aneh / mata yang hebat / pendengaran yang dahsyat / aku / oh / ulang suara / aku / dah dapat cinta dia / sajakjakjakjakjakjakcinta ini saya beri kepadanya percuma / oh / cinta berputik di kafe / oh kafe / kafe dengan air jus yang aneh! Air jus yang jadi saksi / K maafkan aku / ooohhhhhhhhh!……

Awak membacakan sajak ini kuat-kuat dan ini momen yang paling saya ingat di mana kita sama-sama dihalau daripada kafe. Kita dikejar jerung-jerung kedai dan akhirnya kita menyanyi sama-sama lagu hael hussaini apabila hujan turun ke atas kepala kita.

Hujan bertukar menjadi not piano. Awak membawa saya melawat kota sambil kita menyanyi begini :

Pernah tak jauh berfikir
Berarah tak tahu mana
Yang benar ataupun salah
Mungkin kita terlalu muda
Bersama melawan dunia
Bodohnya

Dan kini engkau tahu
Tiada yang lebih mengerti lelah mu
Selain diriku

Temani diri mu
Selagi ku mampu
Temani mu sampai ke hujung waktu
Temani diri mu
Hingga kelabu mata ku
Tetap aku kan setia bersama mu
Masih ku cinta kau sama seperti dulu

Sayang seharus kau tahu
Tak salah merasa salah
Kita manusia

Dan kini engkau tahu
Tiada yang lebih mengerti lelah mu
Selain diriku

Orang ramai melihat kita sebagai gila. Tetapi sebenarnya, dalam kegilaan kita masih lebih bahagia daripada mata-mata buta itu. Dan, saya teringat kata sasterawan popular Iman Ismail, mungkin Nobita akan lebih bahagia jika terus dirundung pilu. Mungkin inilah erti kebahagiaan kita. Kepiluan kerana dipandang gila oleh orang kota.

Pilu 1 : Kita bergaduh lama.

Pilu 2 : Saya dan awak kedua-duanya dipandang hina kerana depresi padahal berjalan kaki di kota telah menjadi kebiasaan di negara luar.

“Mereka tidak menerima kita.” Awak cakap.

“Tidak kisah. Bukannya mereka yang menentukan nasib kita. Cuma kita perlu berusaha untuk keluar daripada warna biru depresi ini.” Saya balas.

“Ya, terima kasih, awak.” Awak terseyum dan kita saling berpandangan melihat wajah masing-masing. #

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini