“Pasti aku bukan perempuan pertama yang merangkulmu.”

“Tidak, kau bukan yang pertama ….”

Khair merapatkan tubuh Kejora ke dadanya. Kedua-dua tangannya disilangkan di belakang tubuh wanita itu. Kejora mendongak, cuba memandang mata Khair. Namun, yang terlihat hanyalah bibir tipis si jejaka. Khair segera melayahkan bibirnya ke wajah wanita itu lalu terhenti di cuping telinganya.

“Yang pertama merangkulku ialah ibuku. Setelah itu nenda sebelah ibuku. Yang seterusnya, tidak perlu kautahu.”

“Tak perlu kauulang percakapan P. Ramlee ….”

“Aku tak mengulangnya. Percakapannya tidak pernah mati.”

Jeda. Rangkulan Khair semakin kejap. Kejora melekapkan wajahnya ke dada bidang lelaki itu, menikmati rima degup jantungnya.

“Bolehkah kutahu bilangannya?”

“Tidak, demi kebaikan perasaanmu.”

Senyum Kejora melebar. Pautannya lebih erat. Tubuh pasangan itu berayun-ayun, larut bagai sedang menari meski tanpa irama yang mengiringi.

Tiba-tiba mereka merenggang.

“Aku harus pergi.”

Sebuah kucupan hinggap di dahi Kejora. Khair mengemaskan pakaian di tubuhnya, menggalas beg, meninggalkan beberapa kucupan lagi di kedua-dua pipi dan bibir Kejora, melangkahi pintu dan berlalu.

Dari birai jendela, wanita itu melihat jejakanya menghidupkan enjin kereta. Perlahan-lahan, kenderaan lelaki itu beredar meninggalkan rindu yang menderu di dada.

Sepekan pun berlalu.

“Kekasih, Februari mendatang ialah bulan kelahiranku. Juga genap lima tahun perkasihan kita. Bolehkah aku meminta hadiah daripadamu?” Kejora mengetik butang “hantar” pada aplikasi WhatsApp.

“Boleh,” balas Khair.

“Aku ingin seutas jam tangan. Akan kukirimkan gambarnya. Harganya sekitar RM50 ke RM200. Lazada.”

“Boleh. Pilihlah. Aku kirimkan wang ke akaunmu.”

Kejora menguntum senyum. Riang. Ditatalnya skrin telefon pintarnya, meninjau satu demi satu gambar jam tangan pada aplikasi belian dalam talian itu. Akhirnya, satu pun tidak terpilih. Memikirkan kesemua jam tangan itu dari Tanah Besar China, dia bimbang andai yang dipesan tak sampai berdasarkan pengalaman rakan sekerjanya. “Barang yang kau nak beli ni kecil sangat. Terhimpit dalam satu kontena. Memang tak mustahil kalau barang ni hilang dalam perjalanan,” demikian pesan mereka.

Satu hari, setelah pulang dari pejabat, Kejora melintasi sebuah kiosk menjual jam di sebuah kompleks beli belah. Matanya pantas terlihat seutas jam gelang tangan pada rak pameran. Bermuka bujur berwarna putih, lengkap tiga jarum penunjuk dan 12 angka Arab. Potongan batu bagai permata menghiasi keliling muka jam. Gelangnya yang beranyam halus berwarna merah jambu keemasan.

“Berapa ni?”

“RM30.”

“Baik.”

Wang bertukar tangan. Hati Kejora berbunga-bunga.

“Kekasih, dah beli. RM30 sahaja. Terima kasih sayang!” Pesanan dihantar menerusi WhatsApp.

Februari pun hadir. Pasangan merpati itu mengulang temu. Mereka duduk rapat menghadap peti televisyen lama yang ditinggalkan oleh tuan rumah sewa itu. Layar televisyen memancarkan berita luar negara tentang bencana alam yang tak berkesudahan.

“Aku ingin mengulang cerita tentang sebuah pertemuan. Oh, sebelum itu, ingatkah akan dikau sebuah cerpen berjudul Maukah Kau Menghapuskan Bekas Bibirnya di Bibirku dengan Bibirmu? karya Hamsad Rangkuti yang terkandung dalam kumpulan cerpen dengan judul yang sama?”

“Aku ingat. Engkau menghadiahi aku buku itu. Dan, itu juga permintaanmu pada pertemuan pertama kita.”

Kejora menarik nafas panjang. Wajah lelaki itu ditatapnya dalam-dalam. Mata mereka bertentang. Segera Kejora mengalih pandang ke luar jendela. Langit kemerahan. Mentari berpindah tempat. Sebentar lagi, senja menginjak malam. Riuh bual kawanan burung, entah pipit, entah tiung yang berdiam pada dahan-dahan pokok berhampiran bagai melaporkan kembara mencari rezeki seharian itu.

“Wanita dalam cerpen itu ingin terjun ke laut, menamatkan hayatnya kerana kecewa dengan lelaki yang pernah menyaluti tubuhnya dengan cincin dan seluruh pakaiannya. Bagi mengakhiri hidupnya, walau seurat benang pun hadiah daripada mantan kekasihnya itu tak diizinkan menyertai dirinya terjun. Terakhir, diminta si tukang gambar untuk menghapuskan bekas bibir mantan kekasihnya yang dirasakan masih terlekat di bibirnya. Aneh, kan? Namun aku suka membacanya. Aku suka mengulang-ulang kisah itu. Terkadang, aku terfikir, alangkah bagusnya andai aku pun seberani wanita itu, berdiri bebas di dermaga, oh, sebaiknya di tiang jambatan yang merentangi laut, membuka diriku kepada udara, membiarkan angin menyambarku lalu melayah ke tengah segara. Ya, itu fikiranku saat berada di muka aras 51 itu.”

Kejora kembali menatap kaca televisyen. Tubuhnya semakin merapat pada tubuh Khair. Tangan lelaki itu dibawa ke wajahnya, dicium lalu diletakkan di dadanya.

“Terima kasih kerana menyahut permintaanku, menyentak tanganku dan menarik diriku agar tidak melayang dari tingkat 51 itu. Saat itu aku terlalu rapuh. Aku ingin keluar dari kelubung halimunan, yang menghalang aku melihat matahari. Aku ingin berpaut, tapi tidak kutemu dahan yang kukuh. Aku ingin berpijak, tapi lututku goyah, langkahku longlai. Dadaku bagai dikeruk-keruk. Otakku bagai diketuk-ketuk. Ada bingit dalam sunyi. Ada riuh dalam sepi. Telingaku tuli, tapi segala suara dari pelbagai arah bersipongang dalam mindaku.”

Pasangan itu berdiam. Hanyalah burung-burung di luar sana masih belum sudah bercerita. Langit semakin kelam. Senja bakal berakhir. Lampu-lampu awam di sepanjang jalan sudah mula menyala.

Kejora bangkit merapati jendela. Langsir tipis berwarna biru kundang ditarik bagi menabiri seluruh tingkap. Dia berlalu menghampiri pintu, memetik suis lampu, membiarkan cahaya kekuningan menerangi ruang tamu lalu kembali memeresukkan tubuhnya di samping Khair. Telapak tangan lelaki itu dilekapkan kembali ke dadanya.

“Bagaimanakah engkau mengetahui aku ada di situ? Bagaimanakah engkau mengetahui tujuan aku berada di situ? Mengapakah Tuhan begitu pengasih memberikan kehidupan baharu untukku? Selama lima tahun ini, aku enggan mengetahui jawapannya kerana aku berusaha hidup dengan melepaskan masa lalu.”

“Hmmm ….” Khair berdeham. Tiada tanda-tanda dia mahu mencelah ucapan Kejora.

“Terima kasih membebaskan aku daripada M, sayang,” ujar Kejora lalu mengucup kembali kekura tangan Khair.

“Percaya pada keajaiban. Aku tiada jawapan bagi setiap pertanyaanmu.”

“Tak mengapa, sayang. Aku tidak memerlukannya. Hanyalah untuk sekali ini perlu kubebaskan persoalan itu daripada fikiranku. Dan, kerana itu aku beria-ia mahu menghiasi pergelangan tanganku ini dengan jam tangan itu. Pada setiap kali memakainya, aku kan terasa kejapnya pautanmu seperti yang lima tahun dahulu.”

Kejora melurut jemari Khair, satu demi satu. Beberapa kali jemari lelaki itu dicium kemudian dilurut kembali.

“Kelmarin, M menelefon aku di pejabat. Dia sakit. Tidak tenat kerana dia masih mampu mengurusi dirinya. Cuma dia meminta aku menyediakan dokumen perundangan supaya aku mengambil Raisa. Ibu M sudah tidak kuat untuk mengasuh gadis kecilku itu. Adiknya, Mar juga tidak dapat membantu kerana sudah berkahwin dan berpindah.”

“Hmmm ….” Khair berdeham lagi.

“Kata M, masa dan wangnya sekarang terpaksa diagihkan ke klinik dan hospital, sama ada untuk merawat dirinya atau ibunya. Banyak hari Raisa tidak ke sekolah. Pelajarannya tertinggal. Raisa pun mulai pesimis, semakin menyendiri. M fikir, waktu ini adalah waktu terbaik untuk Raisa berada di sampingku. Umur Raisa genap sepuluh tahun Disember nanti.”

“Aturkan,” ucap Khair.

“Terima kasih sayang,” pantas Kejora menjawab. Kekura tangan Khair diciumnya berkali-kali.

“Aku harus pergi.”

Khair mengucup dahi Kejora lalu bingkas bangun dan merapikan pakaian di tubuhnya. Beg galasnya disandang ke bahu. Kunci kereta dan telefon pintarnya yang tergeletak di atas meja segera dimasukkan ke poket seluarnya. Khair berdiri menghadap Kejora, memaut bahu wanita itu lantas meninggalkan beberapa kucupan lagi di kedua-dua pipi dan bibirnya.

“Aku hanya ingin melihat senyumanmu. Berbuatlah apa-apa yang menggembirakanmu. Rumah ini untukmu dan untuk Raisa.”

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini