KATANYA, ini bisnes keluarga. Seorang pemuda yang kelihatan segak dengan baju berbutang labuh—kombinasi kurta dan baju Melayu—tersenyum menatap wajah kami yang mungkin tampak bingung.

Namanya Umar. Dia bukanlah individu yang membuka bicara. Tuan Sheikh yang menghulurkan kad bisnes yang meragukan tadi membuka cerita.

Apa yang saya faham, mereka sedang meniagakan tender projek kerajaan secara terus kepada para kontraktor yang sudah ketandusan kerja. Pengalaman selama berbelas-belas tahun dalam industri mengingatkan saya agar tiada minit mesyuarat dicatatkan petang ini.

Ada dua jam lagi sebelum waktu kerja tamat. Tetamu kali ini pula harus cepat. Urusan bisnes keluarga yang mereka katakan itu akan dimuktamadkan di meja makan keluarga di Bagan Datuk, rumah kediaman menteri tersebut.

Umar, saya tebak usianya barangkali belum capai 30 tahun. Menurut ceritanya, dia anak saudara kepada menteri berkenaan. Ibunya ditawarkan projek kerajaan melalui rundingan petang nanti sewaktu berbuka.

Ketika ramai kontraktor sudah beroleh projek melalui rundingan sebegini sifatnya, kami agak lewat mendapat tawaran kerana ibunya itu menetap di London dan jarang benar dapat balik Malaysia. Saya angguk mendengar cerita mereka. Mengertilah saya seperkara jengkel – mereka sedang berniaga bermodalkan hak rakyat.

Saya teringat akan adik saya yang seusia Umar. Tidak seperti Umar, adik saya membanting tulang setiap hari melakukan kerja-kerja rencam. Menghantar makanan, bermain muzik di lobi-lobi hotel dan entah apa saja lagi kerjanya.

Dan saya juga, meski sudah bergelar pengurus projek, kemiskinan bandar masih menghimpit. Bank menghantar notis tuntutan hutang tidak terbayar. Entah apa lagi komitmen tertunggak, saya kadangkala gelapkan mata.

Dan setiap pekerja syarikat yang sedang menghadiri mesyuarat ini semuanya gaji tidak setimpal. Kini, di hadapan saya, Umar tersenyum manis seolah-olah dunia ini dia yang punya. Menyilang kaki, meniagakan projek kerajaan dengan keuntungan 6 peratus ke dalam kocek keluarga.

“Nampaknya, kami tak boleh bagi keputusan. Yang akan pilih projek nanti pun YB juga, kan? Cuma saya ingin tegaskan di sini yang kami ini hands-on kontraktor. Kami kontraktor bumiputera yang genuine, betul-betul buat kerja dan tak sub kerja-kerja dekat orang lain. Kami ada pasukan kami, teknikal kami kukuh, kewangan kami stabil. Dan kami yakin, kami boleh deliver apa saja projek yang tersenarai di situ.”

Saya tidak menokok tambah pun. Itulah syarikat kami. Kontraktor bumiputera yang belum dapat mana-mana projek baharu lagi dalam tempoh masa dua tahun ini.

“Semua orang kita di sini, orang Melayu. Orang Islam. YB kena tolong kami dan kami takkan hampakan YB dengan kualiti yang kami ada,” saya menambah lagi ketika Tuan Sheikh dan Umar sedang meneliti lembaran profil syarikat yang saya hulurkan kepada mereka.

* * *

Petang itu, saya ke bazar Ramadan. Bahang mentari Ramadan sentiasa melelahkan. Ditambah pula kesesakan yang melumrah. Langkah agak longlai. Adakah Padang Masyhar tertanggung berat langkahnya seperti ini? Saya seorang pendosa. Pasti ada insan teraniaya yang belum sempat saya mohon kemaafan daripadanya.

Entah kenapa dalam banyak-banyak reruai yang menjual juadah berbuka puasa, saya terlihat sebuah reruai yang tampak aneh. Ia menjual hal-hal yang tidak punya sifat fizikal. Saya pasti, penjual itu sedang bergurau. Mungkin menggunakan bazar Ramadan untuk aksi politik, barangkali.

Di hadapannya, lambakan plastik kosong berisi angin disusun sebelah-menyebelah. Saya baca papan tandanya: Membeli tawaran rasuah – bersihkan diri anda dalam bulan Ramadan!

Saya tidak pasti adakah saya tersengih ketika itu, tetapi pasti penjual itu dapat membaca perubahan wajah saya lalu bertanya: Encik ada sesiapa yang merasuah encik baru-baru ini? Saya boleh beli balik waktu encik ketika melayan perasuah. Pilih mana-mana bungkusan di hadapan ini berdasarkan skala rasuah yang ditawarkan pada encik. Ah, itu pun kalau Encik tidak berniat mahu menerima rasuah. Jika Encik juga menginginkan rasuah, saya rasa Encik boleh ke gerai lain di sini.

Saya anggap ini satu gurauan yang tidak boleh diambil serius. Demi membuang waktu, saya ambil plastik bungkusan paling besar di situ lalu menghulurkannya kepada penjual itu. Nah, saya ambil ini. 6% daripada nilai projek hampir seratus lima juta ringgit agak besar, bukan? Saya cuba menebak saiz yang sesuai.

Matanya buntang. Diambilnya bungkusan besar berisi angin kosong di tangan saya lalu ditukarnya dengan plastik yang lebih kecil. Di samping itu, dihulurkan sekeping sampul duit raya yang begitu nipis sebagai bayaran terhadap rasuah yang ditawarkan untuk saya membayarnya.

“Insya-Allah, tiada apa-apa akan berlaku dengan urusan rasuah yang Encik hadap hari ini.”

Saya tergelak mendengar kata-katanya demi menyembunyikan hakikat bahawa pertemuan saya dengan wakil menteri memang berlaku petang tadi. Terima kasih, saya ucap sekadar melayan permainan jual beli tawaran rasuah yang agak metaforikal itu.

Malam itu, dalam perjalanan ke surau tempat saya kerap bersolat tarawih, saya terima suatu WhatsApp ringkas daripada Tuan Sheikh. Ada tiga pilihan buah projek pembinaan di Sabah yang setiap satunya bernilai lebih daripada RM 150 juta dengan bayaran 6% selaku upah perolehan projek.

Saya teringat kepada penjual di bazar Ramadan senja tadi. Sebungkus plastik berisi angin di ruang tempat duduk kereta. Sampul duit raya belum saya lihat isinya.

Tanpa banyak fikir, saya mula menaip sesuatu dalam WhatsApp. Azan Isyak berkumandang. Saf sedang diatur. Saya harus cepat.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini