AWAL pagi, rutin harian kami bermula saat ayam jantan berkokok. Ayuh, bangkitlah daripada lenamu, anjing-anjing sekalian. Bersihkan diri dan mari mulakan tugasan kita di dunia ini.

Saya merupakan anjing spesies Golden Retriever. Tubuh saya sederhana besar dan berbulu tebal keemasan. Saya bekerja sebagai anjing penjaga trafik di sebuah sekolah rendah.

Setiap pagi, saya menunggu di stesen bas untuk mengiringi anak-anak kecil yang ingin melintas jalan menuju ke sekolah. Saya perlu menjaga keselamatan mereka daripada dilanggar pemandu yang gemar memandu secara semberono.

Bosan? Memang setiap hari begitu membosankan kerana melakukan pekerjaan yang sama sahaja. Namun itulah kehidupan seekor anjing, jika malas nak bekerja, nanti akan dituduh sebagai anjing kurap yang tak berguna.

Majikan kami seorang manusia yang kedekut, gempal, kuat berpeluh dan gemar mengorek hidung. Setiap bulan, kami akan menerima gaji dalam bentuk serpihan tulang lembu. Ah, nikmat betul dapat mengunyah tulang-tulang itu.

Sahabat rapat, Bob the Bulldog merupakan anjing penjaga kanak-kanak yang paling senior. Dia bekerja hampir 10 tahun dan mencapai usia bakal berpencen.

Kami, anjing-anjing berkomuniti ini mempunyai pelbagai profesion pekerjaan. Anjing awam seperti saya dan Bob akan bekerja sebagai anjing penjaga di sekolah atau di pejabat. Manakala anjing elit akan bekerja sebagai anjing polis K9 atau anjing pengawal menteri.

Namun bidang pekerjaan yang paling kami cemburui adalah menjadi anjing ribaan majikan. Selalunya spesies Pomeranian atau Shih Tzu menjadi pilihan untuk dijadikan anjing riba.

Mereka pandai bermanja dan seharian duduk bermalas-malasan di atas riba majikan. Anjing ribaan atau lapdog, paling tidak berguna dalam komuniti anjing tetapi hairannya, mereka penerima gaji paling lumayan. Saat anjing lain seperti kami sekadar menerima serpihan tulang, anjing ribaan mendapat habuan tulang ‘tomahawk’.

Apabila saya merungut kepada Bob tentang ketidakadilan nisbah tulang yang berlaku kepada anjing suruhan, dia sekadar menasihati supaya bersabar.

“Bersyukurlah dengan kehidupan ini. Biarlah jadi anjing suruhan yang bekerja siang dan malam berbanding menjadi anjing kurap semata-mata.”

Saya membantah, tiada beza pun layanan majikan terhadap anjing suruhan dan anjing kurap. Yang beruntung dalam kehidupan ini hanyalah anjing ribaan seperti si Pomeranian.

“Biarlah, dia pun nak cari makan juga macam kita. Untungnya Si Pomeranian itu suka bermanja, gemar menjilat dan tidak melawan. Majikan suka anjing macam tu.”

Bob memang anjing bulldog yang bijaksana dan bersikap wajar. Walaupun air liurnya sering berjejeh keluar di celahan bibir mulut. Malang buat Bob, sehari sebelum genap tempoh perkhidmatan untuk melayakkan dia menikmati pencen bertulang secara bulanan, tubuhnya kojol di dalam rumah anjing.

Saya menunduk kesedihan kerana Bob merupakan rakan sekerja yang rapat. Dan kematiannya membuatkan saya menjadi berdebar menghitung hari berpencen yang berbaki dua tahun sahaja.

Menjelang hari gaji, wisel yang nyaring ditiup oleh majikan.

Kami, anjing-anjing berkumpul dan berbaris beramai-ramai di dalam sebuah gudang. Kami bernafas tercungap-cungap dengan lidah yang terjelir, seperti selayaknya seekor anjing suruhan yang menunggu untuk diberi makan.

(Saya tidak pernah menceritakan hal ini kepada sesiapa, kecuali arwah Bob. Tapi saya pernah bermimpi menjadi seorang manusia)

Majikan kami yang gempal datang berjalan terkedek-kedek, dengan tangan kirinya mendukung anjing Si Pomeranian bangsat yang pemalas.

Muncung mulut disuakan kepada majikan dan dinganga seluas-luasnya. Dia menyeluk poket untuk mengambil tulang menggunakan jemari montelnya—demi sesuap tulang, kami cuba melupakan jemari itu sering digunakan untuk mengorek hidung—lantas disuapkan ke dalam mulut ini, serpihan tulang-temulang tersebut. #

(Nota: Ilustrasi oleh Jean-Léon Gérôme berjudul Diogenes – Walters 37131, daripada domain awam)

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini