RUMAH kedai empat tingkat, 300 penghuni. Kombinasi yang tak terjangkau oleh kewarasan akal manusiawi. Lantai terbawah ialah lot kedai yang diubah suai menjadi kedai runcit, tingkat dua dijadikan pejabat, tingkat tiga dan empat; ruang tanpa kamar, tilam dan bantal nan minimal, apatah lagi gebar buat merintangi dingin malam. Yang ada cuma alas tilam ala toto, direntangi dan dihamparkan buat dibahagi-bahagikan. Dapatkah kau bayangkan?

            Aku terbaring sambil menakupkan kedua-dua tangan membantalkan kepala. Memandang siling kamar, memandang ligat kipas berputar-putar menghembus angin ke seluruh ruang sederhana kecil yang dihuni dua manusia ini. Itupun kerap kali aku runguti, betapa dewasa ini hangat mentari begitu panas membahang, meski malam. Saban hari, setiap kali pulang dari kuliah pada waktu petang, pelaras kipas siling kerap dipusingkan ke paras lima, masih jua bahangnya terasa di mana-mana. Bukannya tidak selesa, namun kalau keadaan sebegini pun belum mampu kusyukuri, mereka bagaimana? Adilkah ruang ini dan ruang mereka dibanding-bandingkan?

            “Kami ada dua lantai untuk dijadikan ruang tidur, tetapi kami ada 300 lebih anak-anak di sini untuk kami tampung malamnya.” Sesekali kata-kata separa merintih Ustaz Muslim bermain-main dalam cepu kepala. Melihat dengan mata kepala sendiri anak-anak ini bersesak-sesak dalam ruang yang sempit, hati digigit simpati.

            “Sebelah siang, ada antara mereka duduk berhimpun di sini, belajar mengaji al-Quran, sementara sebahagian yang lain keluar bekerja di kilang-kilang. Sebelah malam tak sampai separuh anak-anak ini dapat tidur di sini, separuh yang lain terpaksa bergelandangan sekitar Selayang.” Aku terpanggung kepala mendengar penjelasan Ustaz Muslim. Mengkembarkan ruang terhad dengan jumlah penghuni yang ramai, aku faham dengan penjelasan ustaz. Tetapi mengapa harus menjadi gelandangan?

            “Saya tak percaya NGO yang membela nasib pelarian seperti NGO ustaz ini kesempitan dana untuk beli, atau setidak-tidaknya menyewa premis baharu untuk dijadikan penginapan buat anak-anak ini.” Naifnya aku berkata-kata.

            “Itu kata kamu. Masyarakat? Kerajaan?” Aku terdiam. Kata-kata Ustaz Muslim ada benarnya. Dalam ramai-ramai rakyat Malaysia yang dipromosikan dengan gagasan ‘selamatkan Rohingya’, ‘selamatkan saudara semuslim kita’, berapa kerat sangat yang benar-benar menghulurkan bantuan atau paling tidak mengambil tahu?

            “Tetapi mereka semua masih kanak-kanak ustaz. Tidak layak bekerja, tidak layak menjadi gelandangan dan yang paling penting mereka sepatutnya ke sekolah, bukan ke kilang!” Nadaku separuh membentak.

            Di ruang pejabat sederhana besar, perbincangan kami bersipongang menyeluruhi pojok ini, mungkin sahaja dapat didengari dua pegawai NGO yang lain, seorang pemuda berkemeja dan berkopiah putih yang sedang meladeni panggilan telefon dan seorang lagi wanita separuh usia berniqab dan berjubah hitam yang sedang sibuk menangani fail-fail dan dokumen berkaitan.

            “Menidakkan hak-hak bangsa kami menyalahi banyak deklarasi yang disetujui bangsa-bangsa yang merdeka di seluruh dunia, Idial. Menafikan kewujudan Rohingya nun di Arakan sana telah bercanggahan dengan Artikel 15, Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia yang digubal PBB, dalam hak bernegara. Menidakkan hak anak-anak ini duduk di bangku sekolah belajar membaca dan mengira bukan sahaja bersalahan dengan Artikel 26, malah menolak kewajiban menuntut ilmu yang difardhukan Tuhan.”

            Aku dan Ustaz Muslim duduk berhadapan. Ustaz Muslim menanggalkan cermin mata dan mengurut-urut dahinya yang lelah berhadapan denganku sekian setengah jam yang lalu. Aku datang dengan kasad nan asal untuk meninjau-ninjau tempat ini, yang dicadangkan pensyarah di akademi untuk diadakan program amal.

            “Beginilah, Idial. Ustaz faham benar nawaitu kamu mahu membantu walaupun ustaz tidak berapa jelas dari sudut bagaimana kamu boleh menolong. Ya, kami perlukan lebih banyak dana. Sumbangan daripada orang ramai bukan tidak ada, tapi belum mencukupi. Kamu mahasiswa, ustaz tak mengharapkan kamu dapat membantu dari sudut itu.”

            Mendengar luahan Ustaz Muslim ketika itu, hati membentak-bentak, betapa ruwet subjek Jallinan Masyarakat yang harus aku sudahi semester khas kali ini. Entah kenapa pentadbiran universiti beriya-iya benar mewajibluluskan semua mahasiswa untuk mengkhatami subjek Jalinan Masyarakat bagi tujuan pengijazahan. Menyusahkan.

            ‘Mengapa harus di sini? Kalau buat di rumah anak yatim biasa kan mudah? Datang, beramah mesra kemudian sumbangkan sesuatu- paling tidak sebuah perpustakaan mini. Ataupun turun padang berkampung di rumah orang Asli, belajar budaya mereka dan kami ajar mereka mengaji. Bukan susah sangat!’ Ada suara berbisikan dalam nubari.

            “Menolong orang tertindas tidak semudah berbuat kebajikan, Idial. Kenapa sebegitu banyak orang merasakan menyuap nasi kepada gelandangan, memberikan perlindungan buat pelarian dan memberi makan kepada anak-anak yatim sebagai sumber pahala dan kebajikan buat mereka, sedangkan kaum marginal ini tidak benar-benar diperkasa?” kata-kata Ustaz Muslim seolah-olah menjawab pertanyaan bisuku yang bertubi-tubi tadi. Aku terkejut.

            Ustaz Muslim bangun dan menghampiri ruang jendela kamar kerjanya. Ustaz Muslim pada perkiraanku, mungkin sahaja telah menghampiri usia separuh abad. Berkulit sawo matang, tidak cerah dan tidaklah gelap mana. Ustaz Muslim memandang ke luar tingkap dengan pandangan yang berat, seperti memikirkan sesuatu. Mentari tengah hari terlimpah samar ke wajah.

            “Lima tahun lalu ketika ustaz berkeputusan menjaga anak-anak pelarian ini, ustaz tahu ini bukan keputusan mudah. Ada antara mereka lari ke sini kerana mengikut saudara-mara, jiran-jiran sedangkan ibu bapa dan abang-abang mereka ada yang mati dibunuh penduduk tempatan. Ada yang dirogol dan dibakar tanpa perikemanusiaan.”

            Cerita ngeri. Suara Ustaz Muslim seperti tertahan-tahan di tenggorok.

“Mujur anak-anak di sini antara anak-anak Rohingya yang tak sempat dibunuh dan dibakar di atas zink lalu dicampakkan ke dalam sungai. Ada antara rakan sebaya mereka tidak sempat menjadi dewasa malah belum menjengah remaja. Menjadi Rohingya bukan pilihan mereka, tapi pilihan Tuhan, untuk menguji kita.”

            Untuk menguji kita. Makna yang mahu dihantar Ustaz Muslim cuba aku seluruhi. Ustaz Muslim duduk semula di kerusi, mendepani aku pula.

            “Maafkan ustaz. Tiada niat untuk menakut-nakutkan kamu, Idial. Realitinya begitulah. Masa depan anak-anak ini kabur. Dengan dana yang sekadar memadai dan ditokok dengan hasil jualan pertubuhan di kedai runcit kami di tingkat bawah, ustaz masih mampu menanggung makan pakai anak-anak ustaz ini. Tentang tempat tidur, ustaz masih berusaha. Tetapi pendidikan mereka?”

            Kedengaran suara anak-anak ini sayup-sayup menuruni tangga premis dari tingkat atas ke tingkat bawah. Waktu rehat barangkali. Pada waktu-waktu petang sebegini, menurut Ustaz Muslim, kebiasaannya sebahagian mereka akan belajar dan menghafaz al-Quran bersama sukarelawan yang rela mengajar tanpa apa-apa bayaran daripada Ustaz Muslim.

            “Pernah suatu ketika ustaz turun naik kementerian pelajaran di Putrajaya membuat rayuan agar anak-anak ini diterima masuk sekolah. Anak-anak ini perlukan pendidikan formal, bukan sekadar mengaji al-Quran tetapi buta huruf tak tahu membaca. Kamu tahu apa kata pegawai di sana?” Aku menggeleng-gelengkan kepala.

            “Kata mereka, anak-anak tempatan yang tiada sijil kelahiran pun tidak diterima masuk sekolah, inikan pula pendatang asing,” pilu benar hati mendengar Ustaz Muslim menyebut ‘pendatang asing’, bagai disayat-sayat. Jika aku yang mendengar cerita ini pun tidak tertanggung mendengarnya, inikan pula Ustaz Muslim yang bersusah payah untuk segala-galanya.

            Sayang benar Ustaz Muslim akan anak-anak ini. Meninggalkan kerja sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah agama rakyat dan menumpukan sepenuh perhatian menguruskan anak-anak Rohingya ini di samping mengerjakan perniagaan runcit-runcitan, hatiku digamit kagum.

            “Kamu boleh buat lebih daripada itu, Idial?” Aku tersentak. Ini permintaan atau cabaran? Atau rayuan perjuangan? Ustaz Muslim tersenyum menyeluruhi wajahku, menghantar keyakinan ke ruang dada.

            Lama jeda antara kami. Tidak pasti sama ada ustaz memberi ruang untuk aku berfikir atau aku yang terlalu mengambil masa untuk memberikan jawapan yang sesuai, meski aku tidak punya apa-apa jawapan dalam kantung percaya.

            “Kamu boleh.” Ustaz Muslim merenung aku. Aku terkejut.

            “Saya?” Ustaz Muslim mengangguk.

            “Kalau ustaz tak dapat perjuangkan pendidikan buat anak-anak bangsa ustaz sendiri, kamu anak jati tanah ini sudah tentu boleh, wakili suara kami.” Aku terkejut dalam ragu. Memperjuangkan pendidikan untuk anak-anak tertindas, mampukah aku?

            “Ustaz, boleh saya mahu menjenguk-jenguk sebentar anak-anak di sini.” Aku meminta.

            “Sudah tentu boleh. Mari ke atas.” Aku menuruti Ustaz Muslim keluar dari ruang pejabatnya untuk ke tingkat atas. Kami menaiki tangga satu per satu melangkah menuju ke ruang atas.

            Ramai sungguh. Anak-anak ini sedang membentuk bulatan-bulatan kecil dan dipandu oleh beberapa ustaz dan ustazah muda mengaji al-Quran yang dikongsi-kongsi sesama sendiri. Anak-anak ini semuanya berjubah, mata mereka cerlang, suara mereka persih. Suara anak-anak ini membaca al-Quran sederhana kuat kedengaran jujur sekali, seolah-olah melupakan gempita di tanah asal. Seakan-akan tidak percaya, pada usia sebegini muda, anak-anak ini kehilangan ibu bapa, kehilangan hak di tanah sendiri apatah lagi di tanah orang.

            Ada seorang anak Rohingya mendatangi aku entah dari arah mana. Pada telahanku, kanak-kanak lelaki ini berusia lebih kurang enam atau lima tahun, menghampiri dan memelukku erat. Matanya cerlang memandang membuat hati jadi sayu. Anak-anak ini menjadi yatim tanpa dipinta.

            “Kamu boleh.” Kata-kata Ustaz Muslim dan pandangan sayu anak Rohingya yang aku temui tempoh hari bersilih datang lewat rehat malamku begini.

            Menyeluruhi ruang kamar, melihat rakan sebilik yang tidak sebangsa denganku sedang tekun menelaah pelajaran di meja studi, memikirkan pula betapa susah payah bergulat dengan sistem pendidikan dari bangku sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, betapa aku syukuri peluang yang Tuhan berikan untuk aku belajar dan punya kehidupan yang sebegini baik.

            “Rohingya? Tolonglah, Idial. Kita nak buat jalinan masyarakat, bukan nak bersubahat membantu mangsa-mangsa pelarian. Macam mana nak buat laporan program nanti?” Beberapa teman sekumpulan untuk subjek Jalinan Masyarakat mempertikaikan.

            Mentaliti apa ini? Membantu anak-anak yatim bangsa pelarian dikira bersubahat? Sekembali dari pejabat Ustaz Muslim di Selayang tempoh hari, hati aku telah bulat tekad untuk mahu mengadakan program amal di sini juga, seperti cadangan Dr Shaharudin. Sudah tentu ada sebab musabab tertentu Dr Shaharudin memberi cadangan sedemikian.

            “Kalau kau tetap nak teruskan juga untuk buat JM di petempatan kanak-kanak Rohingya di Selayang tu, kami nak tarik diri. Kau carilah ahli kumpulan baru. Kami akan buat projek kami sendiri, yang boleh disahkan autoriti. Kami tak mahu ambil risiko.”

            Hei, apa yang kalian fikir? Kalian seolah-olah menganggap anak-anak Rohingya ini pendatang asing tanpa izin, walhal mereka memegang status pelarian yang sah tanpa ragu lagi!

            “Fine, kalau kalian tak mahu turut serta, okay. Tak mengapa. Aku boleh buat sendiri. Aku usulkan, aku usahakan, markah aku dan kepuasan untuk diri aku. Aku boleh.” Kata-kata itu akhirnya menjadi keputusan khatimah, tanpa aku sedari keputusan yang aku tekadkan telah menjawab persoalan Ustaz Muslim yang menguji.

            “Kamu boleh.” Kata-kata Ustaz Muslim dan wajah mulus anak Rohingya yang memelukku tempoh hari mampir dalam ingatan lagi. Menjadi intrig.

            “Wakili suara kami,” suara Ustaz Muslim terngiang-ngiang lagi dalam cepu kepala ketika malam sudah melarut kelam. Seluruh tubuh dipeluk kantuk tetapi jiwaku kental memasang nekad, mudah-mudahan Allah membingkaskan aku awal-awal pagi esok dan memudahkan segala urusan.

            Sebelum melelapkan mata, pandanganku tertancap pada satu sudut di ruang studi yang sudah kuhimpunkan papan putih mini, bahan bacaan dan alat-alat tulis sebagai persiapan mengajar di sana esok. Aku kerap berdoa, kalaupun usaha aku ini terlalu kecil di mata penilaian manusia, aku berharap mudah-mudahan Allah setuju dengan segala yang diusahakan.

            Mataku melelap sambil membayangkan hari esok bahan bacaan untuk setiap anak-anak di sana diagih-agihkan, memberikan mereka sebatang pensel untuk diajarkan tulis-baca, dan membentangkan papan putih membariskan angka dan abjad, A hingga Z atau satu hingga sepuluh setidak-tidaknya. Bukankah pendidikan harus dimulakan dengan cinta lalu disuakan dalam susunan huruf dan kata-kata?

            Selamat malam Rohingya. Tidurlah dengan lena kerana esok kita akan bertemu. Jangan bimbang dengan zulmat malam yang mencengkam malam ini, kerana esok matahari akan muncul dan kita dengan riang akan mengucapkan selamat pagi kepada dunia.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini